POKNIK Berjanji Buat apa saja SMIV kembali DIGERUNI!


KOTA BHARU: Biarpun berdepan tekanan selepas dua kekalahan di saingan Liga Super, jurulatih The Red Warriors (TRW), Zahasmi Ismail tetap mendapat sokongan penuh pemainnya, kata pemain pertahanan Kelantan, Nik Mohd Shahrul Azim Abdul Halim atau lebih dikenali Pok Nik. 

Pok Nik masih mengharapkan sentuhan 'magis' Zahasmi dalam misi memburu tiga mata penuh sebagai hadiah kemenangan pertama kepada peminat pada pertemuan dengan Selangor, Sabtu ini. 

"Saya mengakui peminat memang kecewa selepas kalah tipis 1-0 kepada Kedah, selain tewas 2-0 kepada Melaka di laman sendiri, namun semua pemain tetap berikrar berada di belakang jurulatih," kata Pok Nik. 

"Apabila penyokong datang ke stadium, kami tetap mahukan sokongan mereka untuk memperagakan aksi bertenaga setiap kali berhadapan dengan mana-mana pasukan lawan. 

"Malah kadangkala kami dapat mencapai apa yang diinginkan dan ada kalanya tidak. 

"Namun ini adalah jurulatih yang sama ketika membantu kami meraih beberapa kejayaan sebelum ini," kata Pok Nik yang mengingatkan penyokong mengenai kemampuan Zahasmi. 

Ketika penampilan pertamanya bersama Kelantan selaku penolong jurulatih kepada Bojan Hodak pada tahun 2012, Zahasmi berjaya menjuarai gelaran treble - Liga Super, Piala FA, dan Piala Malaysia. 

"Saya berjanji yang kami akan melakukan apa saja untuk mengubah badi kekalahan di tempat sendiri yang pernah menjadi gelanggang keramat paling digeruni pasukan lawan ketika dahulu," kata pemain berusia 26 tahun itu. 

Sumber : BERITA HARIAN 

Share:

0 comments