Jangan pandang rendah TRW : Subahan


PRESIDEN baharu Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Seri Subahan Kamal. - Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN 

KUALA LUMPUR: Presiden baharu Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Seri Subahan Kamal, meminta semua pemain The Red Giants supaya tidak memandang rendah kemampuan Kelantan dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam esok. 

Bagi Subahan, biarpun The Red Warriors (TRW) tewas dalam dua pertemuan sebelum ini tetapi tidak mustahil skuad bimbingan Zahasmi Ismail itu mampu mempamerkan kebangkitan untuk menewaskan Selangor nanti. 

Berikutan itu, Subahan percaya pasukan TRW yang kini berada di tangga kelapan carta Liga Super tidak akan memberi laluan mudah untuk Selangor apatah lagi mereka mempunyai kelebihan beraksi di gelanggang sendiri. 

"Saya berharap semua pemain Selangor akan bermain bermati-matian untuk memenangi perlawanan menentang Kelantan dan akan mencapai kemenangan Insya Allah," katanya di sini, semalam. 

Untuk rekod, Selangor sudah mencatat dua kemenangan dalam saingan Liga Super musim ini selepas menewaskan pasukan FELDA United 3-1 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS), pada 17 Februari dan menang 2-0 ke atas Pulau Pinang di stadium sama, pada 21 Januari lalu. 

Manakala, Kelantan pula tewas dua kali berturut-turut di Kota Bharu iaitu di tangan Melaka United (MU) 0-2, Sabtu lalu dan Kedah 0-1, pada 18 Februari lalu. 

Setakat ini, TRW hanya meraih enam mata selepas mengharungi empat perlawanan musim ini manakala Selangor yang sudah beraksi lima kali berada di tangga keempat liga dengan lapan mata. 

Subahan juga menjangkakan Selangor bakal berdepan ujian getir dalam dua perlawanan berikutnya minggu depan iaitu menentang Kedah di Stadium Darul Aman pada 1 Mac dan melayang kunjungan Perak di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, pada 4 Mac ini. 


Sumber : BERITA HARIAN

Share:

0 comments