Punca khidmat Weigang ditamatkan tiba-tiba didedahkan

Image result for weigang
IPOH - Hubungan dingin dengan pemain dikatakan menjadi punca Karl Heinz Weigang ditamatkan tugasnya sebagai ketua jurulatih skuad Perak dan digantikan dengan bekas jurulatih Selangor, Mehmet Durakovic hari ini. 

Dalam kenyataan mengenai pelantikan Mehmet, Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) tidak memberikan sebab penamatan khidmat Weigang, namun sumber memberitahu sikap Weigang menyebabkan pemain tidak berpuas hati sehingga mendorong Pafa untuk mengambil tindakan drastik menamatkan kontrak jurulatih berusia 82 tahun itu. 

Menurut sumber berkenaan, pemain dikatakan tidak berpuas hati terhadap jurulatih dari Jerman itu dalam banyak perkara terutama pemilihan kesebelasan utama apabila pemain utama kerap memanaskan bangku simpanan. 

Difahamkan, selain itu pemain yang ingkar atau melawan arahan Weigang akan diketepikan walaupun seseorang pemain itu berada pada prestasi terbaik. 

Katanya, pemain juga dikatakan tidak berpuas hati dengan sikap panas baran Weigang yang tetap memarahi pemain walaupun Perak memenangi sesuatu perlawanan seperti ketika menang 3-0 ke atas pasukan Persa�tuan Bola Sepak Melayu Selangor (PBMS) dalam perlawanan Piala FA pada 15 Februari lalu. 

�Perkara ini menyebabkan hubungan antara jurulatih dan pemain begitu dingin,� katanya. 

Menurut sumber tersebut, keputusan Pafa hari ini tiada kaitan dengan prestasi semasa skuad Perak. 

�Prestasi pasukan bukan alasan penamatan kontrak Weigang kerana Perak kini berada pada tahap terbaik apatah lagi selepas meleburkan rekod Johor Darul Ta'zim (JDT) yang tidak kalah dalam 25 perlawanan Liga Super baru-baru ini,� katanya. 

Sementara itu, Presiden Pafa, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan berkata Pafa dan Weigang telah mencapai keputusan bersama bahawa kontrak jurulatih itu ditamatkan berkuat kuasa hari ini.

Menurutnya, keputusan tersebut dicapai setelah kedua-dua pihak mengadakan perbincangan panjang lebar dan mene�liti pelbagai aspek dan cadangan. 

�Pafa sangat menghormati dan menghargai Weigang yang telah memberikan khidmat dan sumbangan yang luar biasa kepada pasukan dan dinobatkan sebagai jurulatih legenda pasukan Perak,� katanya. 

Tambah Abdul Puhat, keputusan melantik Mehmet dibuat setelah Pafa meneliti beberapa calon jurulatih tempatan dan asing. 

�Pafa berharap pelantikan Mehmet dapat membentuk pasukan yang berkualiti dengan ilmu, pengalaman, sistem kejurulatihan dan taktikal tahap tertinggi untuk mencapai sasaran yang ditetapkan musim ini,� katanya. 

Dalam pada itu, usaha wartawan untuk menemu bual jurulatih dari Australia itu selepas sesi latihan pasukan Perak di Padang Pernama di sini tidak berjaya apabila jurulatih berkenaan enggan ditemu bual. 

�Pihak pengurusan atasan Pafa belum membenarkan Mehmet ditemu bual,� kata seorang pegawai Pafa.

SUMBER : UTUSAN

Share:

0 comments